Friday, 3 February 2012

myMetro | Suami tak disukai ibu - Sebagai Perkongsian~

myMetro | Suami tak disukai ibu

Fikrah Dr. Salam~


SAYA dan suami sudah berkahwin sembilan tahun. Bagaimanapun, ibu saya tidak merestuinya dan tidak mengiktiraf kedudukan suami sebagai menantunya.
Suami dilarang pulang ke rumah ibu di kampung. Suami dan saya patuh kerana tidak mahu menyakiti hati ibu. Anak saya dipelihara seorang pengasuh berhampiran rumah ibu sejak berusia empat tahun.

Ibu membiayai kos upah kepada pengasuh itu kononnya tidak mahu menyusahkan saya. Ibu melarang saya dan suami mengambil anak kami untuk kami jaga sendiri.

Sekarang anak saya sudah berusia lapan tahun dan apabila tiba cuti sekolah, ibu melarang saya dan suami mengambil anak daripada jagaan pengasuh untuk tinggal bercuti di rumah kami sendiri.

Apabila saya berkeras, ibu mendakwa saya sebagai anak derhaka dan mula mengungkit wang yang digunakan untuk membayar upah pengasuh.

Yang menghairankan, ibu membiarkan anak saya tinggal di rumah pengasuh walaupun pada musim cuti sekolah dan ibu sendiri tidak pernah mengambil anak saya untuk tinggal bersamanya.

Untuk pengetahuan Dr, ibu saya seorang penjawat awam. Sekarang saya mengikuti pengajian separuh masa di sebuah IPTA. Sebab itu, saya sukar mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan sektor swasta bekerja pada hari Sabtu.

Ibu mendakwa rezeki saya tersekat kerana saya tidak taat pada perintahnya. Ibu berkata “Percayalah kepada emak... Masalah kamu akan selesai apabila kamu minta cerai dengan suami kamu dan menggembirakan hati emak. Kamu derhaka kalau tidak ikut perintah emak ini.” kata ibu.

Patutkah saya meminta cerai daripada suami sedangkan dia menjaga saya selama ini dengan baik. Ibu berkata, tempat ibu adalah yang pertama dan suami adalah yang kedua.

SITI,
Kuala Lumpur




TIDAK dapat dinafikan apa yang pada berlaku pada anda dan keluarga adalah ujian daripada Allah. Kita sepatutnya sabar dan berusaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri dan keluarga.

Mengenai tingkah laku ibu, anda berdua hendaklah banyak bersabar dan berdoa kepada Allah semoga ibu insaf atas tingkah lakunya selama kini.

Tetaplah berbuat baik dengan ibu sendiri. Mohonlah doa dan kerjasama suami dalam memperbaiki keadaan yang sudah agak lama berlaku. Ini kerana anda berdua sudah menyedari dan sanggup menghadapi dugaan itu selama ini.

Hasutan dan cakap-cakap ibu supaya memohon cerai, tidak perlu diikut kerana ia bertentangan dengan Islam itu sendiri. Islam membenci perceraian dan tidak menggalakkannya.

Dengan kata lain, ketaatan kepada Allah lebih kuat daripada ketaatan pada ibu dalam soal ini. Lebih-lebih lagi puan mempunyai suami yang baik dan memahami keadaan yang ada dan dia juga tidak pula cuba mengusutkan lagi keadaan.

Isteri yang baik adalah isteri yang menjaga maruah diri dan maruah suami.
Kedudukan isteri pula, isteri hendaklah sentiasa mematuhi suami dan memberi sepenuh ketaatan padanya.

Berlainan jika suami menyuruh melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, ketaatan kepada suami tidak diminta.

No comments:

Post a Comment